Ikuti~

Selasa, Januari 04, 2011

Sebaik-baik Sultan Yang Dijanjikan

بسم الله الرحمن الرحيم

assalamualaikum....

HADITH RASULULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN KOTA COSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit Khandaq; ''Costantinople (Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.....''

(Hadith riwayat Imam Ahmad)


* * * * * * * *



Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Costantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalam Hadith tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.

Di dalam salam sebuah kempen semasa Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi SAW iaitu Abu Ayyub al Ansary RA telah syahid dan dimaqamkan di bawah dinding kubu Kota Costantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimaqamkan di situ, maka beliau menjawab,

''Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Costantinople.''

Begitulah teguhnya iman seorang sahabat Nabi SAW.

Hadith Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah bersama 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tenteranya sehingga disebut ''sebaik-baik raja, dan sebaik-baik tentera'' di dalam Hadith tersebut.


* * * * * * * *


PENGENALAN



Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432M di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula sejak 800 tahun sebelum baginda dilahirkan. Ini kerana baginda telah disebut sebagai 'sebaik-baik raja' di dalam Hadith Rasulullah SAW. Baginda juga dikenali sebagai Muhammad al-Fateh (pembuka) kerana kejayaannya membebaskan Costantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dam memerintah selama 30 tahun (1451-1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481M kerana sakit. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat akibat diracun.


PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya ialah Syeikh Shamsuddin al-Wali. Beliau dikatakan berasal dari susur galur keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA.

Di dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendikiawan ulung pada zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa, iaitu, bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Herbew.

Di dalam ilmu pemerintahan pula, ayahanda baginda, iaitu Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda baru berusia 12 tahun memangku jawatan khalifah. Pada usia semuda itu baginda telah matang dalam menangani tipu helah musuh.


KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan merendah diri. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju serta serbannya, lalu mengangkat batu dan pasir hingga para ulama' dan para menteri mengikut sama bekerja.

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama' dan selalu berbincang dengan mereka berkenaan permasalahan negara.


* * * * * * * *


PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN COSTANTINOPLE



Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, baginda mengkaji pelan Kota Costantinople pada setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi peperangan yang sesuai digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hinsari dibina di tebing sebelah Eropah. Ia terletak lebih kurang 5 batu dari Kota Costantinople di mana Selat Bosphorus adalah selat yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulunya. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Basphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallichia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Costantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama' dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Costantinople, baginda mengarahkah agar dilaungkan azan solat secara berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan takbir yang memecah kesunyian alam.


MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS COSTANTINOPLE



Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantine meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453M, serangan dimulakan. Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak, tetapi dinding tengahnya masih teguh.


Menara Bergerak (Siege tower)


Seterusnya baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ia menembusi dinding tengah kubu mereka.


Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn di rentang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada tentera Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantine.


Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung




Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan yang terbaik dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.


Memanjat dan Membedil Dinding Kota

Keesokan paginya, tentera Uthmaniyyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantine menyebabkan ramai yang gugur syahid. Baginda memerintahkah tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga pagi.


Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya.

''Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!''

Mendengarkan itu, Hassan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 orang tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka semua kemudiannya syahid dek dihujani anak panah tentera musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar !!


Penawanan Costantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Costantinople jatuh ke tangan umat Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan). Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhu'nya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur kr hadhrat Illahi. Semenjak peristiwa itu, baginda digelar al-Fateh iaitu yang membuka serta membebaskan Kota Costantinople.


* * * * * * * *


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA



Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa sahaja yang
layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun,
lantas bertanya, ''Siapakah di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau
sekali, sila duduk!'' Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak ada seorang pun daripada mereka pernah
meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, ''Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan
solat sunat rawatib, sila duduk!'' Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, ''Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah
meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!''. Kali ini semuanya duduk, kecuali
Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu,
solat sunat rawatib, dan solat sunat tahajjud sejak baligh. Inilah baginda anak didik
Syeikh Shamsuddin al-Wali. Bagindalah sebaik-baik Sultan yang telah diisyaratkan oleh
Rasulullah SAW dalam Hadithnya itu.

wallahualam...


3 ulasan:

RIAN berkata...

nice info. .

ape beza byzantine dgn constantinople ?

[H]afiz Al-[F]aizy berkata...

tme kaaseh..
maaf lmbat ya..xprasan..hehe

byzantine = kerajaan

costantinople = tempat

Halimatus Saadiah bt Mohd Yaakob berkata...

weyh , bed time st0ry utk aku , yeah! da baca.. haha dan dan aku nganiss , huu