Ikuti~

Jumaat, Januari 07, 2011

Sinar buatmu Andalus..

assalamualaikum...


Kedatangan Islam ke Andalusia (Sepanyol) bukan sahaja membawa cahaya tauhid malah membebaskan rakyat negara itu dari penindasan serta kezaliman. Ketika itu Sepanyol diperintah oleh Raja yang berbangsa Gothic. Dia dan orang-orangnya hidup dalam kemewahan sedangkan rakyat dibiarkan kesengsaraan. Para petani dipaksa membayar cukai yang tinggi.

Kaumwanita terutama anak-anak gadis yang cantik berasa tidak selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderic ataupun konco-konconya. Mereka yang cuba melawan dibunuh malah ada yang dibakar hidup-hidup. Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu, rakyat hidup dalam bayangan ketakutan. Sebahagian besar penduduk terpaksa melarikan diri ke sebuah wilayah yang aman dan makmur di benua Afrika. Sebuah wilayah yang penuh dengan nilai toleransi kerana dinaungi oleh sebuah kerajaan Islam.

Panglima Julian, iaitu Gabenor Ceuta, menaruh perasaan marah dan dendam kesumat terhadap Raja Roderic kerana telah menodai anakandanya Florida, puterinya yang cantik jelita. Bagi membalas dendam amarahnya kepada raja yang zalim itu, dia berangkat ke Afrika lalu menghadap Musa bin Nusair, wakil khalifah Islam di Afrika. Julian meminta bantuan tentera Islam bagi menumbangkan pemerintah kejam, Raja Roderic.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Musa bin Nusair segera mempersiapkan sebuah angkatan perang seramai 12,000 orang bagi menawan Andalusia (Sepanyol), serta membebaskan rakyat jelata negara itu daripada penindasan. Beliau melantik Tariq bin Ziyad sebagai panglima angkatan tentera bagi memimpin armada perangnya itu.

Dengan menaiki 12 kapal perang, tentera Islam menuju ke benua Eropah. Setelah mendarat di Andalusia, Tariq segera memerintahkan agar kapal-kapal yang mereka naiki dibakar. Pada mulanya, tindakan itu mendapat bantahan daripada sebilangan besar tentera Islam. Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta awam. Apatah lagi, kapal perang kepunyaan mereka sendiri. Mereka mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal yang mereka naiki sudah dibakar.


Untuk memecahkan kebuntuan tenteranya, Tariq bin Ziyad segera mengumpulkan tenteranya di sebuah bukit yang kini dikenali sebagai Gibraltar (Jabal Tariq). Lalu Tariq pun menyeru dengan lantang, yang mana ucapannya itu terkenal sehingga ke hari ini,

''Wahai saudara-saudaraku! Di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak akan dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang selagi belum mencapai matlamat itu!''

Kata-kata keramat Tariq bin Ziyad itu berjaya menuipkan kembali semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Dengansemangat yang berkobar-kobar mereka mara menentang tentera Raja Roderic yang mempunyai kekuatan tentera seramai 100,000 orang.

Tariq bin Ziyad asalnya seorang hamba atau budak suruhan milik Musa bin Nusair. Dia akhirnya dilantik oleh Musa sendiri menjadi pembantunya kerana mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 orang tentera Islam ke Andalusia. Pada mulanya, tujuan penghantaran tentera adalah bagi meninjau keadaan tempat dan kekuatan musuh serta mencari titik kelemahan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan bala tentera yang akan dipimpin oleh Musa bin Nusair. Akan tetapi, Tariq berfikiran sebaliknya. Beliau beranggapan bahawa mereka ke Andalusia demi meraih syahid ataupun menumbangkan kuasa musuh. Oleh itu, beliau sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera-tentera Islam di bawah pimpinannya tidak berhajat untuk pulang ke tanah air.

Pada 19 Julai 711M, maka terjadilah pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad dengan tentera Gothic yang dipimpin oleh Raja Roderic. Peristiwa itu berlaku berhampiran dengan sungai Barbat kerana di situlah tentera Gothic berkumpul bagi menghalang kemaraan tentera Islam. Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil bilangannya berbanding tentera musuh, ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan, namun, semagat jihad yang membakar di dalam diri tentera Islam, membuatkan mereka berjaya memberi pukulan hebat terhadap tentera musuh. Akhirnya, tentera Gothic tewas dan Raja Roderic mati lemas di sungai Barbat ketika cuba melarikan diri.

Kekalahan itu amat memalukan tentera Gothic lalu mereka mengumpul semula kekuatan bagi mengusir tentera Islam daripada tahan air mereka. Tetapi tentera Islam bertambah kuat dengan tibanya tentera tambahan daripada Afrika yang dipacu sendiri oleh Musa bin Nusair.

Kemudian terjadilah satu lagi pertempuran sengit di Ecijia. Dalam pertempuran itu, tentera yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Musa bin Nusair. Natijahnya, tentera Islam sekali lagi meraih kemenangan. Tariq bin Ziyad belum berpuas hati dengan kemenangan itu. Dengan persetujuan Musa bin Nusair, tentera Islam dibahagikan kepada empat pasukan sebelum dihantar ke Cordoba, Malaga dan Granada. Tariq bin Ziyad sendiri memimpin pasukan utama menuju ke Toledo, ibu kota Andalusia. Keempat-empat kota itu dapat ditawan dengan mudah oleh tentera Islam tanpa mendapat tentangan sengit.

Antara faktor kejayaan gemilang tentera Islam di Andalusia adalah kerana rakyat negara itu sememangnya sudah benci terhadap pemerintahan zalim Raja Roderic. Oleh itu, kedatangan tentera Islam dianggap sebagai penyelamat malah ada yang sanggup menyertai tentera Islam bagi menentang tentera Gothic.

Rakyat Andalusia yang sekian lama hidup di bawah kekuasaan tentera Gothic tertarik dengan kebaikan perilaku serta akhlak tentera Islam. Seorang ahli sejarah, Philip K. Hitti berkata, ''Penaklukan Sepanyol merupakan perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luas ke dalam kekuasaan Islam.''

Penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan mengamalkan agama masing-masing diakui serta dihormati. Rakyat Andalusia yang sudah lama menderita akibat kekerasan serta penindasan menyambut baik kebaikan serta keharmonian yang ditonjolkan oleh tentera Islam. Kini penderitaan mereka digantikan dengan kedamaian.

Rakyat tidak lagi merasa tertindas dan harta mereka juga terjamin. Paderi-paderi Kristian yang pada mulanya menyembunyikan diri kerana khuatir dengan tindak balas orang-orang Islam kembali semula ke kampung halaman. Mereka semuanya memulakan hidup baru di bawah naungan Khilafah Islamiyah yang adil dan saksama.

Tariq bin Ziyad bercadang untuk meluaskan taklukannya ke seluruh benua Eropah. Akan tetapi, manusia hanya merancang, namun Allah jua yang menentukan. Ketika persiapan perang sedang rancak dijalankan, tiba-tiba Tariq bin Ziyad diperintahkan oleh khalifah untuk kembali ke Damsyik (Syiria). Sebagai panglima tentera yang penuh dengan disiplin, beliau mematuhi arahan tersebut. Niatnya mahu menakluk seluruh Eropah terpaksa dibatalkan.

Tariq bin Ziyad menghembuskan nafas terakhirnya di Damsyik. Namanya terukir di dalam catatan sejarah sebagai panglima perang yang berjaya menggerunkan pasukan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Raja Roderic. Hingga kini, Gibraltar atau nama asalnya Jabal Tariq (Bukit Tariq) masih megah dan abadi di Andalusia, Sepanyol.

Atas usahanya, dan dengan izin Allah SWT kerajaan Islam al-Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun. Di Sepanyol beliau telah menjadi lagenda sehingga menerima gelaran 'Tariq El-Tuerto' yang bermaksud 'Tariq bermata satu'. Semoga Allah merahmatinya.

Kini, kita sebagai umat Islam harusalah mencontohi keimanan serta semangat juang yang kental yang telah ditonjolkan oleh panglima Tariq bin Ziyad. Sesungguhnya umat Islam suatu masa dahulu telah menguasai 2/3 dunia.

Apakah kita sudah melupakan saat gemilang tersebut? Ke manakah perginya pejuang-pejuang Islam masa kini? Apakah kita mahu sejarah kegemilangan Islam dilupakan begitu sahaja?

Ya Allah, bantulah kami hamba-hambaMu. Kurniakanlah kepada kami pejuang-pejuang yang akan kembali menegakkan kembali agamaMu di bumi ini. Kurniakanlah kepada kami semangat jihad seperti Tariq bin Ziyad, Muhammad al-Fateh, Salahuddin al-Ayubi serta pejuang-pejuang agamaMu yang lain...

Wallahualam..

4 ulasan:

Asrul Hadi berkata...

mashaAllah. hebat karangan enta(^_^)
keep it up!

RIAN berkata...

suka baca citer2 mcm ni. .
teruskan usaha anda. .

I.T. berkata...

Assalamu'alaikum

Seronok Baca.

[H]afiz Al-[F]aizy berkata...

asrulhadi > ilham pnjam meminjam..:)

RIAN > insyaallah...akan dikumpulkn lagi crita2 cmni...

abah > wslm...lame da x bace crita2 cmni..hehee...abh sehat?