Ikuti~

Rabu, Februari 16, 2011

Mata Jin~

assalamualaikum..


kpd mereka2 yg telah melihat video ini, dan mmpunyai ilmu tentangnya, sila perjelaskan...hehe

mari kita bersama-sama berkongsi ilmu... :)

semoga Allah menjauhkn kita dari sifat / perbuatan keji / syirik / khurafat...
amiinn...

Khamis, Februari 10, 2011

Pemuda Itu...

assalamualaikum..


Nabi Muhammad SAW telah berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali;

''Akan lahir dalam kalangan Tabi'in seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir pada zaman kamu.''

Telah kita sedia makruf akan siapakah Saidina Umar dan Saidina Ali. Keduanya adalah insan yang telah tersenarai sebagai 'al-Mubasyirun bil Jannah' iaitu mereka yang sudah dijamin syurga. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda lagi;

''Pada zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kalian pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman. Dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul pada zaman kamu. Carilah dia. Sekiranya kalian berjumpa dengannya, mohonlah agar dia berdoa untuk kamu berdua.''

Lantas Saidina Umar dan Saidina Ali bertanya kepada Rasulillah SAW;

''Apakah yang patut kami minta daripada Uwais al-Qarni ya Rasulullah?''

Rasulullah menjawab;

''Kalian mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kalian.''

Banyak peristiwa di mana para sahabat yang hadir bertemu Rasulullah SAW, kemudian memohon sesuatu yang baik untuk mereka, Rasulullah SAW menjawab;

''Pohonlah Maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT.''

Hatta kepada orang yang telah dijanjikan syurga, namun, mencari keampunan Allah SWT adalah sesuatu yang begitu utama. Perlu dilaksanakan dan diusahakan oleh setiap orang yang beriman. Secara logiknya, apakah perlu untuk orang yang sudah dijanjikan syurga memohon keampunan? Namun begitu, Rasulullah SAW tetap memberi penekanan kepada ummatnya untuk sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Ini kerana, Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah SWT juga sentiasa memohon keampunan daripadaNya.

Ternyata benarlah bagai yang disabda, Uwais al-Qarni telah muncul pada zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka tertunggu-tnggu dan tercari-cari kabilah-kabilah yang datangnya dari arah Yaman menuju ke Madinah. Akhirnya, Saidina Umar dan Saidina Ali bertemu dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata kasar, beliau tidak mungkin orang yang bagai disabdakan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana, pada kaca mata umum, beliau hanya dianggap sebagai orang yang kurang waras.




* * * * * * * *


UWAIS AL-QARNI...

Beliau adalah seorang pemuda yang ditakdirkan oleh Allah SWT menghidap penyakit sopak sejak dilahirkan. Badannya bertompok putih. Sopak adalah penyakit yang tidak digemari oleh kebanyakan manusia. Walaupun menghidap penyakit sopak, namun beliau tetap seorang hamda Allah SWT yang soleh. Beliau terlalu mengambil berat akan kondisi ibunya yang telah uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun dan tabah dalam mencari keredhaan ibunya. Bapanya telah meninggal dunia semasa kecil.

Suatu hari, ibunya memberitahu akan hasratnya untuk menunaikan haji kepada Uwais al-Qarni. Ibunya menyuruh agar Uwais al-Qarni mengikhtiarkan apa jua kaedah dan caranya untuk membolehkan dia sampai ke Makkah serta dapat menunaikan haji. Akan tetapi, mereka merupakan orang miskin, Uwais al-Qarni merasa tidak mampu untuk menampung perbelanjaan untuk ibunya menunaikan haji pada masa itu. Ini kerana, pada zaman tersebut, kebanyakan orang yang berasal dari Yaman menyediakan beberapa pengangkutan berasaskan unta yang dipasang di atasnya 'Haudat'. Haudat adalah kamar kecil yang dipasang di atas unta bagi melindungi penunggangnya daripada terik matahari dan hujan. Ia sangat selesa namun menelan kos perbelanjaan yang tinggi. Uwais al-Qarni tidak yakin dapat menyediakan kemudahan seperti itu. Sedangkan seekor unta beliau tidak miliki, apatah lagi ingin menyewanya.

Hari berganti hari, ibu Uwais al-Qarni semakin uzur. Berkata ibu Uwais al-Qarni kepadanya;

''Anakku, barangkali ibu sudah tidak lama lagi dapat bersamamu. Ikhtiarkanlah agar ibu dapat menunaikan haji...''

Suatu hari, Uwais al-Qarni mendapat satu ilham. Beliau lantas membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan tamat tempoh menyusu. Beliau membuat kandang kecil di atas sebuah bukit. Mengikut rancangannya, pada sebelah petang, beliau akan mendukung anak lembu tersebut naik ke atas bukit, dan pada keesokan paginya, beliau akan mendukung semula anak lembu itu turun untuk diberi makan. Itulah rutin Uwais al-Qarni seharian. Setiap hari. Ada waktu dan ketikanya, Uwais al-Qarni mendukung lembu itu mengelilingi bukit tersebut. Perilakunya mengundang buah mulut orang. Ramai yang mengatakan Uwais al-Qarni seorang yang gila.

Manakan tidak, membina kandang lembu di atas bukit. Kemudiannya mendukung lembu setiap pagi dan petang. Turun naik bukit. Akan tetapi, Uwais al-Qarni bukanlah seperti yang digossipkan oleh orang ramai.

Setelah enam bulan berlalu, lembu yang berat asalnya hanya 20kg, kini sudah mencecah 100kg. Otot-otot tangan serta badan Uwais al-Qarni menjadi lebih tegap dan gagah. Mudah untuknya mengusung lembu itu turun serta naik ke atas bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, tibalah pada musim haji. Rupa-rupanya, perbuatan Uwais al-Qarni selama ini hanyalah sebagai latihan baginya untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Dengan gigih serta tabahnya, Uwais al-Qarni telah mendukung ibunya dari Yaman menuju ke Makkah. Bersama-samanya Uwais al-Qarni sertakan barang-barang keperluan seperti air dan roti sebagai bekalan sepanjang perjalanan. Sedangkan lembu yang beratnya sekitar 100kg mampu didukungnya setiap pagi dan petang, inikan pula ibunya sendiri yang berat hanya sekitar 50kg.

Uwais al-Qarni mendukung ibunya dengan tangannya sendiri dari Yaman ke Makkah. Terus melaksanakan haji. Dari ibadah tawaf, sa'ie, mahupun ke Arafah, Uwais al-Qarni tabah mendukung ibunya. Malah, Uwais al-Qarni juga turut mendukung ibunya pulang semula dari Makkah ke Yaman. Subhanallah...




Sekembalinya ke Yaman, ibunya bertanya;

''Uwais anakku, apakah yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Makkah?''

Uwais al-Qarni menjawab;

''Saya berdoa, memohon agar Allah SWT mengampunkn segala dosa-dosa ibu.''

''Bagaimana pula dengan dosa-dosa kamu?''

''Dengan terampunnya dosa-dosa ibu, ibu akan masuk ke syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga turur akan masuk ke syurga.''

Lantas ibunya berkata;

''Ibu mahu kamu berdoa agar Allah SWT menghilangkan penyakit sopak kamu ini.''

''Saya keberatan untuk berdoa, kerana ini Allah SWT yang jadikan. Jikalau tidak redha dengan kejadian Allah, seperti saya tidak bersyukur kepada Allah SWT''

''Kalau ingin masuk ke syurga, haruslah taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan kamu berdoa.''

Mendengarkan kata-kata ibunya itu, Uwais al-Qarni akhirnya tiada pilihan lagi. Terus beliau menadah tangan seraya berdoa sepertimana kehendak ibunya. Pulih dari penyakit sopak.. Namun begitu, kerana takut sekiranya masih ada dosa pada dirinya, Uwais al-Qarni berdoa;

''Ya Allah...tolonglah aku Ya Allah...Kerana ibuku, aku berdoa hilangkanlah putih (sopak) yang ada pada badanku ini melain tinggalkanlah sedikit...''

Allah SWT menyembuhkan penyakitnya serta merta. Maka hilanglah sopak di seluruh badannya kecuali tompok kecil di bahagian lehernya. Tanda putih kekal kerana permintaannya. Baginya, penyakit sopak ini adalah anugerah Allah SWT kepadanya, kerana tanda putih di lehernya merupakan tanda pengenalan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali.

''Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Sekiranya berjumpa dengan tanda itu, maka dialah Uwais al-Qarni..''

Tidak beberapa lama kemudian, ibu Uwais al-Qarni pulang ke Rahmatullah. Beliau telah menunaikan segala permintaan ibunya. Setelah itu, Uwais al-Qarni menjadi insan yang tinggi martabatnya di sisi Allah SWT.

Saidina Umar dan Saidina Ali akhirnya bertemu dengan Uwais al-Qarni sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Mereka meminta supaya Uwais al-Qarni mendoakan keampunan kepada Allah SWT kepada mereka. Pada ketika Uwais al-Qarni bertemu dengan Saidina Umar dan Saidina Ali, Uwais al-Qarni berkata;

''Aku ini datang dari Yaman ke Madinah, kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kalian, iaitu supaya kalian berdua bertemu denganku...''

Maka Uwais al-Qarni pun mendoakan untuk mereka berdua....

Wallahualam..


[dipetik dan diubahsuai dari iluvislam,com]

Isnin, Februari 07, 2011

Abu Ayyub al-Ansari RA

assalamualaikum...



Abu Ayyub al-Ansari atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib berasal daripada keturunan Bani An-Najjar.

Beliau dikenali semasa peristiwa hijrah apabila mendapat penghormatan Rasulullah SAW apabila baginda ditakdirkan untuk mendiami rumah beliau setelah baginda sampai ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Semasa Rasulullah SAW memasuki kota Madinah, setiap orang dalam kalangan kaum Ansar bercita-cita untuk menerima Rasulullah SAW sebagai tetamu dan sangat mengharapkan agar Rasulullah SAW apabila turun dari untanya lalu berhenti di hadapan rumah mereka. Ada di antara mereka cuba menghalang perjalanan unta baginda supaya unta tersebut menghala dan berhenti di hadapan rumah mereka. Lalu kemudiannya baginda bersabda;

''Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan.'' Lalu unta tersebut terus bejalan sehingga sampai di hadapan rumah Abu Ayyub al-Ansari RA. Lantas unta tersebut mematikan langkahnya.

Abu Ayyub al-Ansari RA telalu gembira melihat keadaan tersebut, lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah SAW, menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan terharu tak terkata sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Rasulullah SAW seolah-olah beliau membawa khazanah yang begitu berharga. Kemudian beliau menjemput Rasulullah SAW masuk ke rumahnya.

Rumah Abu Ayyub al-Ansari RA merupakan sebuah rumah yang mempunyai dua tingkat. Rasulullah SAW memilih tingkat bawah agar mudah urusan baginda untuk bertemu dengan sahabat yang mana mereka boleh keluar masuk dengan mudah. Akan tetapi, keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub al-Ansari RA tidak dapat tidur di tingkat atas. Malah, beliau tidak dapat walau sedikitpun melelapkan matanya. Hatta menjelangnya waktu fajar. lalu beliau berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu mengadu akan hal tersebut. Kemudian beliau meminta agar baginda berpindah ke tingkat atas.

Pada masa itu juga wajah baginda kelihatan ceria, lantas baginda bersabda;
''Janganlah kamu menyusahkan diri kamu wahai Abu Ayyub. Sesungguhnya kami lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang datang berjumpa kami.''

Lalu Abu Ayyub al-Ansari RA mengisahkan peristiwa tersebut :
''Aku melaksanakan perintah Rasulullah SAW yang teresbut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang sejuk, bekas air kami pecah lantas menyebabkan airnya tumpah ke lantai tingkat atas. Lalu aku dan Ummu Ayyub (isteriku) terus bergegas ke tempat air yang tumpah itu. Namun pada masa itu kami tidak mempunyai walau sehelai kain melainkan kain baldu yang kami jadikan sebagai selimut ketika tidur.

Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang tertumpah kerana khuatir sekiranya air tersebut menitis ke tingkat bawah, yakni tempat Rasulullah SAW berada. Pada keesokan harinya, aku berjumpa Rasulullah SAW, lalu aku berkata;

''Demi bapaku, kamu dan ibuku, aku tidak suka berada di atasmu sedangkan kamu di bawahku.''

Setelah itu aku menceritakan kepada baginda mengenai bekas air tersebut. Lalu kemudiannya baginda menerima permintaanku dan baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas, manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah.

Rasulullah SAWmenetap di rumah Abu Ayyub al-Ansari RA selama lebih kurang tujuh bulan sehinggalah masjid baginda dibina, serta dilengkapi dengan bilik-bilik yang terdapat di sekeliling masjid. Kemudiannya baginda berpindah ke sana.

Abu Ayyub al-Ansari RA adalah seorang yang berhati lembut, sangat menyayangi baginda Rasulullah SAW, sangat pemurah, gemar memberi makan kepada orang lain serta beliau juga memiliki sebatang pohon kurma yang mana beliau mengusahakannya untuk menampung kehidupannya sekeluarga.

Selain itu, Abu Ayyub al-Ansari RA juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam. Kesemua peperangan telah beliau sertai melainkan jika ada peperangan yang berlaku serentak. Malah Abu Ayyub al-Ansari RA tidak pernah ketinggalan menurut serta dalam peperangan yang diikuti oleh umat Islam semenjak pada zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman Kerajaan Umayyah.

Semasa hayat Rasulullah SAW, baginda pernah bersabda;

''Costantinople (Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...''

Demi mendengarkan sabda Rasulullah SAW, Abu Ayyub al-Ansari RA begitu yakin dan percaya, bahawa suatu hari nanti, kota Costantinople akan jatuh ke tangan umat Islam. Sejak itu, umat Islam seluruhnya berlumba-lumba untuk membebaskan kota itu.

Pada zaman pemerintahan khalifah Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan tentera dengan misi untuk membuka kota Costantinople di bawah pimpinan anaknya, Yazid. Pada masa tersebut Abu Ayyub al-Ansari RA telah berumur. Usianya telah mencecah 80 tahun. Walaubagaimanapun, beliau tetap keluar bersama-sama dengan pasukan tentera dengan menaiki pengangkutan laut.

Semasa dalam pelayaran, Abu Ayyub al-Ansari RA telah jatuh sakit. Lalu panglima tentera masa itu bergegas menemuinya, lantas bertanya, ''Wahai Abu Ayyub ! Adakah kamu ingin meminta sesuatu?'' Justeru Abu Ayyub al-Ansari RA meminta kepada panglima tersebut, sekiranya beliau meninggal dunia, usunglah jasad beliau dan kebumikanlah di bumi Costantinople, iaitu di kubu persempadanan Costantinople. Ternyata akhirnya beliau meniggal dunia pada ketika itu.

Setelah peristiwa tersebut, tentera Islam berusaha menyerang musuh sedikit demi sedikit. Akhirnya mereka berjaya sampai ke sempadan Costantinople dalam keadaan mereka mengusung jenazah Abu Ayyub al-Ansari RA. Di sana, mereka lantas mengebumikan jenazah yang mulia tersebut.

Kehendak Abu Ayyub al-Ansari RA dikebumikan di situ, tidak lain hanyalah ingin mendengan derapan kaki tentera Islam yang akan menawan kota Costantinope itu. Derapan kaki sebaik-baik tentera, dan sebaik-baik sultan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.

Wallahualam...