Ikuti~

Khamis, Februari 10, 2011

Pemuda Itu...

assalamualaikum..


Nabi Muhammad SAW telah berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali;

''Akan lahir dalam kalangan Tabi'in seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir pada zaman kamu.''

Telah kita sedia makruf akan siapakah Saidina Umar dan Saidina Ali. Keduanya adalah insan yang telah tersenarai sebagai 'al-Mubasyirun bil Jannah' iaitu mereka yang sudah dijamin syurga. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda lagi;

''Pada zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kalian pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman. Dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul pada zaman kamu. Carilah dia. Sekiranya kalian berjumpa dengannya, mohonlah agar dia berdoa untuk kamu berdua.''

Lantas Saidina Umar dan Saidina Ali bertanya kepada Rasulillah SAW;

''Apakah yang patut kami minta daripada Uwais al-Qarni ya Rasulullah?''

Rasulullah menjawab;

''Kalian mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kalian.''

Banyak peristiwa di mana para sahabat yang hadir bertemu Rasulullah SAW, kemudian memohon sesuatu yang baik untuk mereka, Rasulullah SAW menjawab;

''Pohonlah Maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT.''

Hatta kepada orang yang telah dijanjikan syurga, namun, mencari keampunan Allah SWT adalah sesuatu yang begitu utama. Perlu dilaksanakan dan diusahakan oleh setiap orang yang beriman. Secara logiknya, apakah perlu untuk orang yang sudah dijanjikan syurga memohon keampunan? Namun begitu, Rasulullah SAW tetap memberi penekanan kepada ummatnya untuk sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Ini kerana, Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah SWT juga sentiasa memohon keampunan daripadaNya.

Ternyata benarlah bagai yang disabda, Uwais al-Qarni telah muncul pada zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka tertunggu-tnggu dan tercari-cari kabilah-kabilah yang datangnya dari arah Yaman menuju ke Madinah. Akhirnya, Saidina Umar dan Saidina Ali bertemu dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata kasar, beliau tidak mungkin orang yang bagai disabdakan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana, pada kaca mata umum, beliau hanya dianggap sebagai orang yang kurang waras.




* * * * * * * *


UWAIS AL-QARNI...

Beliau adalah seorang pemuda yang ditakdirkan oleh Allah SWT menghidap penyakit sopak sejak dilahirkan. Badannya bertompok putih. Sopak adalah penyakit yang tidak digemari oleh kebanyakan manusia. Walaupun menghidap penyakit sopak, namun beliau tetap seorang hamda Allah SWT yang soleh. Beliau terlalu mengambil berat akan kondisi ibunya yang telah uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun dan tabah dalam mencari keredhaan ibunya. Bapanya telah meninggal dunia semasa kecil.

Suatu hari, ibunya memberitahu akan hasratnya untuk menunaikan haji kepada Uwais al-Qarni. Ibunya menyuruh agar Uwais al-Qarni mengikhtiarkan apa jua kaedah dan caranya untuk membolehkan dia sampai ke Makkah serta dapat menunaikan haji. Akan tetapi, mereka merupakan orang miskin, Uwais al-Qarni merasa tidak mampu untuk menampung perbelanjaan untuk ibunya menunaikan haji pada masa itu. Ini kerana, pada zaman tersebut, kebanyakan orang yang berasal dari Yaman menyediakan beberapa pengangkutan berasaskan unta yang dipasang di atasnya 'Haudat'. Haudat adalah kamar kecil yang dipasang di atas unta bagi melindungi penunggangnya daripada terik matahari dan hujan. Ia sangat selesa namun menelan kos perbelanjaan yang tinggi. Uwais al-Qarni tidak yakin dapat menyediakan kemudahan seperti itu. Sedangkan seekor unta beliau tidak miliki, apatah lagi ingin menyewanya.

Hari berganti hari, ibu Uwais al-Qarni semakin uzur. Berkata ibu Uwais al-Qarni kepadanya;

''Anakku, barangkali ibu sudah tidak lama lagi dapat bersamamu. Ikhtiarkanlah agar ibu dapat menunaikan haji...''

Suatu hari, Uwais al-Qarni mendapat satu ilham. Beliau lantas membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan tamat tempoh menyusu. Beliau membuat kandang kecil di atas sebuah bukit. Mengikut rancangannya, pada sebelah petang, beliau akan mendukung anak lembu tersebut naik ke atas bukit, dan pada keesokan paginya, beliau akan mendukung semula anak lembu itu turun untuk diberi makan. Itulah rutin Uwais al-Qarni seharian. Setiap hari. Ada waktu dan ketikanya, Uwais al-Qarni mendukung lembu itu mengelilingi bukit tersebut. Perilakunya mengundang buah mulut orang. Ramai yang mengatakan Uwais al-Qarni seorang yang gila.

Manakan tidak, membina kandang lembu di atas bukit. Kemudiannya mendukung lembu setiap pagi dan petang. Turun naik bukit. Akan tetapi, Uwais al-Qarni bukanlah seperti yang digossipkan oleh orang ramai.

Setelah enam bulan berlalu, lembu yang berat asalnya hanya 20kg, kini sudah mencecah 100kg. Otot-otot tangan serta badan Uwais al-Qarni menjadi lebih tegap dan gagah. Mudah untuknya mengusung lembu itu turun serta naik ke atas bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, tibalah pada musim haji. Rupa-rupanya, perbuatan Uwais al-Qarni selama ini hanyalah sebagai latihan baginya untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Dengan gigih serta tabahnya, Uwais al-Qarni telah mendukung ibunya dari Yaman menuju ke Makkah. Bersama-samanya Uwais al-Qarni sertakan barang-barang keperluan seperti air dan roti sebagai bekalan sepanjang perjalanan. Sedangkan lembu yang beratnya sekitar 100kg mampu didukungnya setiap pagi dan petang, inikan pula ibunya sendiri yang berat hanya sekitar 50kg.

Uwais al-Qarni mendukung ibunya dengan tangannya sendiri dari Yaman ke Makkah. Terus melaksanakan haji. Dari ibadah tawaf, sa'ie, mahupun ke Arafah, Uwais al-Qarni tabah mendukung ibunya. Malah, Uwais al-Qarni juga turut mendukung ibunya pulang semula dari Makkah ke Yaman. Subhanallah...




Sekembalinya ke Yaman, ibunya bertanya;

''Uwais anakku, apakah yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Makkah?''

Uwais al-Qarni menjawab;

''Saya berdoa, memohon agar Allah SWT mengampunkn segala dosa-dosa ibu.''

''Bagaimana pula dengan dosa-dosa kamu?''

''Dengan terampunnya dosa-dosa ibu, ibu akan masuk ke syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga turur akan masuk ke syurga.''

Lantas ibunya berkata;

''Ibu mahu kamu berdoa agar Allah SWT menghilangkan penyakit sopak kamu ini.''

''Saya keberatan untuk berdoa, kerana ini Allah SWT yang jadikan. Jikalau tidak redha dengan kejadian Allah, seperti saya tidak bersyukur kepada Allah SWT''

''Kalau ingin masuk ke syurga, haruslah taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan kamu berdoa.''

Mendengarkan kata-kata ibunya itu, Uwais al-Qarni akhirnya tiada pilihan lagi. Terus beliau menadah tangan seraya berdoa sepertimana kehendak ibunya. Pulih dari penyakit sopak.. Namun begitu, kerana takut sekiranya masih ada dosa pada dirinya, Uwais al-Qarni berdoa;

''Ya Allah...tolonglah aku Ya Allah...Kerana ibuku, aku berdoa hilangkanlah putih (sopak) yang ada pada badanku ini melain tinggalkanlah sedikit...''

Allah SWT menyembuhkan penyakitnya serta merta. Maka hilanglah sopak di seluruh badannya kecuali tompok kecil di bahagian lehernya. Tanda putih kekal kerana permintaannya. Baginya, penyakit sopak ini adalah anugerah Allah SWT kepadanya, kerana tanda putih di lehernya merupakan tanda pengenalan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali.

''Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Sekiranya berjumpa dengan tanda itu, maka dialah Uwais al-Qarni..''

Tidak beberapa lama kemudian, ibu Uwais al-Qarni pulang ke Rahmatullah. Beliau telah menunaikan segala permintaan ibunya. Setelah itu, Uwais al-Qarni menjadi insan yang tinggi martabatnya di sisi Allah SWT.

Saidina Umar dan Saidina Ali akhirnya bertemu dengan Uwais al-Qarni sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Mereka meminta supaya Uwais al-Qarni mendoakan keampunan kepada Allah SWT kepada mereka. Pada ketika Uwais al-Qarni bertemu dengan Saidina Umar dan Saidina Ali, Uwais al-Qarni berkata;

''Aku ini datang dari Yaman ke Madinah, kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kalian, iaitu supaya kalian berdua bertemu denganku...''

Maka Uwais al-Qarni pun mendoakan untuk mereka berdua....

Wallahualam..


[dipetik dan diubahsuai dari iluvislam,com]

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bukankah owais al-Qarny hidup pada zaman Rasulullah?

[H]afiz Al-[F]aizy berkata...

barangkali terdapat bnyk pndapat...:)