Ikuti~

Jumaat, April 22, 2011

Sepetang bersama Habib Umar al-Yamani

assalamualaikum..

Syukur kepada-Mu Ya Allah, atas nikmat dan kurniaan kesempatan dari-Mu, walaupun tidak mungkin ku bersua dengan kekasihmu Sayidina Muhammad SAW di dunia ini, aku diberi peluang untuk bersemuka dengan waris keturunan mulia junjungan Nabi Muhammad SAW.

Jumaat, 22 April 2011 - Masjid Jaafar at-Toyyar, Mazar, Jordan. Khutbah Jumaat disampaikan oleh seorang ulama besar dunia. Berasal dari Yaman, iaitu Habib Umar. Walaupun aku hanya berkesempatan untuk seketika bersamanya, namun ia cukup untuk membuatkan aku merasa tenang dan bahagia. Penuh sesak dek kerumunan manusia, aku hanya mampu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Syukurlah. Semoga Allah panjangkan umurku untuk bertemu dengan ramai lagi alim ulama' di bumi ini.

____________________

Habib Umar al-Yamani



Al-'alamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Hussin bin al-Sheikh Abdul Rahman as-Saqaf bin Muhammad al-Maulay ad-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad Sahib as-Saumiah bin Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad an-Naqib bin Ali bin Abi Tolib dan anakanda Fatimah az-Zahra binti Sayidina Muhammad Khatam an-Nabiyin SAW.



Beliau dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharram 1382H bersamaan 27 Mei 1963M.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya yang pada masa itu menjawat jawatan sebagai Mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada Uuama-ulama Hadramaut yang ada pasa masa tersebut. Di antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah as-Shathry.

Bermula pada tahun 1402H bersamaan 1982M, Habib Umar berulang alik ke al-Haramain as-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif ad-Daiyah al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqaf, al-Arif ad-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musanid as-Syeikh Muhammad Yassin al-Fadany dan al-Alamah Muhaddith al-Haramain as-Sayid Muhammad bin Alawi al-Maliki dan ulama-ulama lain.

Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugas sebagai pendakwah Islam pada seawal usianya 15 tahun. Di samping itu, beliau juga meneruskan pengajiannya secara talaqi. Berdakwah, megajar dan belajar telah menjadi darah dagingnya. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M, sekembalinya beliau ke tanah airnya di Yaman, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama 'Darul Mustofa' di bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau.

Akhirnya Darul Mustofa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 ZulHijjah bersamaam 6 Mei 1997. Kini Darul Mustofa mendapat perhatian yang begitu hebat dalam kalangan pelajar-pelajar Islam seantero dunia. Tambahan pula, para graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar as-Syarif dan kebanyakan Universiti Islam terkemuka dunia.

Al-Alamah al-Habib Umar telah banyak membuat lawatan dakwah Islamiyah dan menyampaikan ilmu ke serata negara-negara Islam lain seperti Syiria, Mesir, Sudan, dan banyak lagi saban tahun.

Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau.


Habib Umar bersama Habib Ali.
_____________________




Sedutan yang sempat dirakamkan semasa bersama beliau.

Ya Allah, kurniakanlah aku semangat dan rasa cinta kepadamu sepertimana telah Kau kurniakan kepada para kekasih-Mu, dan hiasilah diriku dengan akhlak mulia sepertimana telah Kau hiasi para kekasih-Mu..

Sumber : Pondok Pasir Tumboh, Kelantan

Wassalam...

1 ulasan:

ibn suhaimi™ berkata...

Salam alaik ya ustaz.

Hamba yang lemah ingin minta artikel mantapain nya.

Semoga beroleh kekuatan, USAH jemu menulis agi ya:)

Usrah bila agi iya?